Tuesday, March 1, 2011

Kisah Semalam

Angin semilir menjamah pipi. Dingin pagi menggigit tubuhku yang hanya berbalut baju kurung putih berbunga biru kecil. Ku sedut udara nyaman sambil mataku rapat tertutup. Ku buka semula mata beningku. Tiada pemandangan indah di hadapanku melainkan batu-batu nisan yang terpacak sebagai tanda. Ku mula melangkah, menyusuri jalan bertanah merah, melintasi kamar peraduan saudara seagama denganku.
                Seketika kemudian, aku berhenti. Ku letakkan air dan bakul berisi bunga di tepi kakiku lalu bertinggung. Ku baca ayat-ayat suci al-Quran yang ku ingat. Kemudian, air yang ku bawa tadi, ku tumpahkan ke atas ranjang peraduan orang yang aku sayang itu. Disusuli dengan taburan bunga yang masih segar.
                “Ibu... Nur balik dulu. Nanti Nur datang lagi,” kataku. Dengan perlahan ku bangun lalu mencapai bakul bunga dan jag air. Ku renung sejenak ke arah kubur arwah ibuku lalu beredar dengan langkah longlai dan mata yang berkaca-kaca.
                Sesampai di rumah, aku terus memanjat tangga untuk ke bilik. Baru sahaja kakiku ingin melangkah ke dalam bilik, Mak Zah, pembantu rumahku menyapa sambil menghulurkan sebuah diari. “Nur... Ini Mak Zah terjumpa di bawah katil dalam bilik ibu dan papa Nur. Mungkin diari ini kepunyaan ibu Nur.”
                “Terima kasih Mak Zah. Mak Zah, nanti petang Mak Zah tolong buatkan pengat pisang. Nur tolong Mak Zah,” kataku kepada Mak Zah setelah menyambut diari itu.
                “Yelah.... Mak Zah ke dapur dulu,”ujar Mak Zah seraya berlalu.
                Aku masuk ke bilik. Diari dalam genggaman ku letakkan di atas katil. Aku bergerak ke kamar mandi untuk membersihkan diri.
                Petang itu, aku membantu Mak Zah memasak pengat pisang. Ketika sedang membasuh pisang, telefon rumah berdering. Mak Zah berlalu ke ruang tamu untuk mengangkat telefon. Tidak sampai lima minit, dia kembali ke dapur. Air mukanya menunjukkan ada sesuatu perkara yang tidak menyenangkannya.
                “Mak Zah, kenapa? Siapa telefon tadi?,” tanyaku perlahan.
                Mak Zah merenung wajahku seketika lalu menjawab, “papa Nur telefon. Katanya.... katanya... katanya ibu tiri Nur akan berpindah ke sini esok. Dia suruh Mak Zah tolong kemaskan bilik.”

                Aku terkesima. Nyawaku bagai direnggut. Nafasku bagai disekat. Khabar yang ku terima bagaikan halilintar yang mengejutkan setiap yang mendengarnya. Aku lantas tersedar apabila Mak Zah menepuk lembut bahuku.
                “Mak Zah... Kenapa papa buat Nur begini? Papakan tahu Nur tidak suka dengan Mak Cik Rozita. Papa memang tak sayangkan Nur. Papa memang sengaja nak sakitkan hati Nur,” rintihku dengan linangan air mata. Aku segera mengangkat kaki meninggalkan Mak Zah di dapur.
                Di bilik, aku menangis sepuasnya. Tangisku tiba-tiba reda bagaikan dipujuk-pujuk apabila terlihat foto ibu di atas meja. Lantas aku teringat akan diari ibu. Aku lantas mencapai diari ibu di tepi bantal. Lalu aku membuka diari itu dengan debaran di hati. Lalu aku membacanya.
Helaian pertama hingga helaian entah ke berapa, hanya menceritakan tentang kisah hidup ibu dan papa. Sampai di satu helaian, terselit permulaan kisah hidup ibu dengan kehadiran orang ketiga.
                Dari situ, aku mendapat tahu bahawa papa mempunyai skandal dengan Mak Cik Rozita. Mak Cik Rozita ialah seorang  model islamik berstatus janda. Aku pernah bertemu dengannya ketika menghadiri pertunjukan fesyen islamik untuk butik ibu. Helaian demi helaian ku baca, ku teliti. Bermula saat ini, perasaan benci terhadap papa mula tumbuh. Ketika ibu masih hidup, aku membenci  Mak Cik Rozita kerana bagiku dialah punca keretakan rumahtangga ibu dan papa. Kini, aku turut membenci papa yang menduakan ibu.
                Esoknya, papa pulang bersama Mak Cik Rozita. Aku yang sedang menonton sinetron Tasbih Cinta hanya membatukan diri. Papa masuk lalu memperkenalkan Mak Zah kepada Mak Cik Rozita. Papa mendekatiku lalu melabuhkan punggung di sisiku. Dia bertanya keadaanku. Aku hanya membisu. Mak Cik Rozita menghampiriku apabila Mak Zah beredar ke dapur. Dia meletakkan beg tangannya di sofa sebelah kananku lalu menghulurkan tangan. Aku tidak menyambut. Mataku halakan tepat ke kaca televisyen.
                “Nur... Kenapa ni? Tidak baik buat begitu? Mak Cikkan ibu Nur juga,” kata papa, keras.
                “Dia bukan ibu Nur,” balasku, tegas. Aku lantas berlalu kerana jika ku tunggu lagi, pasti butiran mutiara yang sedang bergenang di mataku melimpah.
                Esoknya, aku ke sekolah seperti biasa. Ketika aku baru hendak melabuhkan punggung, Hana menyapaku. Hana ialah seorang pelajar yang bermasalah di sekolah. Aku hanya memandangnya sepi lalu berpaling ke arah lain.
                “Wei, aku dengar papa kau kahwin baru. Kau dapat ‘mak’ barulah. Aku dengar mak tiri ini selalunya jahat,” katanya bila aku tidak mengendahkannya.
                “Petang ni, kami ada projek. Nak ikut tak? Aku gerenti kau mesti suka. Jom la... daripada kau di rumah, menatap muka mak tiri kau tu,” sambungnya lagi.
                ‘betul juga. Daripada aku sakit hati, lebih baik aku lepak dengan mereka.’
                “Baiklah, aku tunggu dekat pagar lepas sekolah nanti,” balasku tanpa menoleh ke arah Hana.
                “Jangan lambat,”balas Hana sambil berlalu.
                Kini, sudah sebulan aku berkawan dengan Hana dan rakan-rakannya. Aku sudah mula gembira dengan kehidupanku sekarang. Aku sering pulang lewat malam. Kadangkala sekadar pulang untuk menyalin pakaian.
                “Nur.. Nur dari mana ni? Kenapa lewat sangat Nur pulang?,” Tanya Mak Cik Rozita.
                “Suka hati akulah. Aku nak balik ke? Tak nak balik ke? Apa kau kisah?,” dengan kemarahan yang sentiasa menyala di hati, aku hamburkan kebiadabanku itu. Tiba-tiba pipi kiriku terasa pedih. Aku lihat papa dengan wajah bengis berdiri gagah umpama seorang tentera di hadapanku.
                “Anak kurang ajar. Biadab. Kenapa dengan kau ni? Mak cik kau tanya sebab ambil berat pasal kau, ini yang kau balas. Syaitan apa yang dah merasuk fikiran kau ni?,” lantang suara papa memarahiku.
                Aku lantas mengangkat kaki dengan mutiara jernih yang semakin melimpah dari tubir mataku. Aku memanjat tangga hingga ke atas. Pintu bilikku hempas, tanda protes. Aku nekad, aku tidak akan memaafkan papa dan Mak Cik Rozita.
                Esoknya, ketika aku sedang berbual-bual dengan salah seorang rakan Hana, Hana menghampiriku lalu mengunjukkan sesuatu kepadaku. Aku menyambut dengan tertanya-tanya. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat barang yang diberikan oleh Hana.
                “Aku nak kau cuba. Semua ahli baru wajib ambil benda ni kalau nak terus kekal dalam kumpulan ni. Kalau tak, kau baliklah menghadap muka mak tiri kau tu. Kami tak rugi apa pun,” kata Hana. Perkataan mak tiri itu sengaja ditekan. Aku menatap wajah Hana dan benda haram di telapak tanganku itu silih berganti. Aku tidak tahu mengapa, namun aku hanya menurut telunjuk Hana.
                Kini hidupku sentiasa ingin didampingi bahan khayal itu. Aku kini bergelar pengedar dadah. Tempatku kini di lorong-lorong hitam dan kelab-kelab malam. Aktiviti seharianku adalah mencari pelanggan. Pelajaranku di tingkatan empat ku tinggalkan.
                Pada suatu malam, aku pulang dalam keadaan khayal. Ketika ingin mendaki tangga, aku disapa dari belakang. Aku menoleh. Mak Cik Rozita bertanya aku dari mana dan kenapa lewat pulang ke rumah.  Aku membalasnya dengan bahasa yang kasar.
                Aku ingin berlalu untuk ke bilik. Aku lantas berpaling. Aku lihat papa berdiri tepat dihadapanku. Wajahnya jelas menggambarkan kemarahannya. Tiba-tiba, aku terasa semacam ada ketakutan yang mengalir dalam darahku. Aku tidak berani menegurnya waima memandangnya sekalipun. Aku tunduk merenung lantai. Semuanya tertegun dalam diam yang panjang.
                Tiba-tiba, papa melangkah ke atas. Kira-kira lima minit kemudian, dia turun semula dengan sebuah beg di tangan kanannya. Beg itu papa lemparkan ke kakiku. Aku menatap wajah papa. Di wajahnya terpancar semacam rasa kecewa.
                “Nur... Papa buat semua ini untuk kebaikan Nur. Papa nak Nur sedar dengan segala kesilapan yang Nur dah buat,” kata papa perlahan.
                Kini sudah dua bulan aku keluar dari rumah. Aku tinggal bersama Hana. Aku sudah jauh terlibat dalam pengedaran pil-pil khayal dan dadah. Aku semakin menjadi kesukaan ketua kami iaitu Binggo. Aku sering mendapat pelanggan-pelanggan yang memang member keuntungan kepada kami.
                Pada suatu malam, aku didekati Adam. Adam menyuruh aku segera lari dan bersembunyi di tempat yang tidak ada orang tahu. Dia menjelaskan bahawa Hana telah menuduhnya mencuri wang Binggo. Hana cemburu dengan hasil yang aku dapat. Binggo dan konco-konconya dalam perjalanan untuk menemuiku. Aku ketakutan. Aku pun lari untuk menyelamatkan diri. Namun, aku telah dikepung. Aku dipukul oleh mereka. Aku berasa nyawaku sudah dihujung tanduk. Seluruh tubuhku sakit dan perit kerana disepak terajang oleh mereka. Wajah ibu dan papa tiba-tiba terbayang. Pandanganku berpinar-pinar dan kemudian gelap.
                Aku terjaga. Di sekelilingku hanya ada sebuah taman. Aku toleh sekelilingku. Sayup-sayup aku terdengar suara wanita memanggilku. Aku cuba mencari tapi tidak ku temui. Aku berjalan beberapa langkah ke hadapan. Kakiku tersadung batu lalu terjatuh. Pandanganku gelap semula.
                Aku membuka mata. Ku lihat keliling. Aku di katil hospital. Ku lihat doctor dan jururawat sedang memeriksa tekanan darahku. Di hujung katil, ku lihat papa tersenyum ke arahku. Di sisi papa, terdapat seorang anak muda. Dia adalah Adam, bagaimana Adam tahu aku di sini? Dan bagaimana aku boleh berada di sini?
                Selesai makan ubat, papa menceritakan segalanya kepadaku. Buah pinggangku rosak teruk kerana pengambilan dadah yang berlebihan dan hentakan kuat ketika dipukul tempoh hari. Adam  ialah anak saudara Mak Cik Rozita. Mak Cik Rozita meminta Adam menjaga dan mengawasi aku. Jadi, Adam menyertai kumpulan Jinggo. Mak Cik Rozita mendermakan sebelah buah pinggangnya untukku. Khabar yang ku terima itu, mengejutkan aku. Ku renung wajah Mak Cik Rozita, jelas tidak ada riak dendam di wajahnya. Aku memohon maaf kepadanya.
                “Nur... pernah kita jatuh mencuba berdiri, menahan sakit dan menangis. Tapi erti hidup lebih dari itu, dan kita harus tabah dan terus bertahan. Mak cik maafkan Nur. Kita bina hidup baru dan berilah mak cik peluang untuk jadi ibu Nur walaupun mak cik tak boleh tandingi ibu kandung Nur,” kata Mak Cik Rozita perlahan. Kini baru aku sedar bahawa langit tidak selalunya cerah. Aku benar-benar insaf atas kesilapan yang lalu.
-ain- (1/3/11 : 11.26)

No comments:

Post a Comment